Zaman persekolahan adalah zaman terindah dalam hidup seseorang insan. Bagi aku yang banyak menghabiskan masa dengan bermain, bergurau-senda, tertawa riang gembira tanpa ada rasa risau akan hari esok, zaman persekolahan adalah satu garis masa yang ingin aku ulang semula tatkala aku dibebani rasa tekanan dan masalah hidup di kala aku bergelar lelaki dewasa ini. Zaman persekolahan lah yang mengajar aku erti sebenar persahabatan yang dibina bukan atas dasar wang ringgit dan harta benda tetapi atas dasar saling percaya-mempercayai antara satu sama lain dan ingin sama-sama berjaya dalam mengejar cita-cita.
Zaman persekolahan sekolah rendah aku banyak diisi dengan memori indah bersama rakan-rakan yang sudah lama aku tak jumpa. Lelaki mahupun perempuan. Ramai yang sudah terputus hubungan lantaran berjauhan dan tidak bersama ketika memasuki alam sekolah menengah. Aku masih ingat aku dulu mempunyai seorang rakan kacukan Melayu dan British bernama Huzaiffah Amir. Ayahnya seorang Melayu dan ibunya warga British. Kami bersahabat baik, sama-sama menjadi pengawas sekolah. Aku masih ingat aku sering berada di sebelahnya ketika upacara perhimpunan rasmi hari Isnin kerana kami berkongsi tugas yang sama iaitu menaikkan bendera. Selain daripada itu, memori zaman sekolah rendah aku juga banyak di isi dengan penglibatan aku dalam aktiviti ko-kurikulum seperti Majlis Tadarus Al-Quran acara Bercerita Kisah-Kisah Anbia, Junior Story Telling Competition Tawau District, dan Sukan Badminton acara Bergu. Satu pengalaman yang tak dapat aku lupakan sampai bila-bila. Aku sangat-sangat bersyukur kerana diberi kesempatan dan peluang menyertai aktiviti yang pada pendapat aku banyak mengajar aku untuk lebih gigih dan rajin jika ingin berjaya. Aku menamatkan zaman persekolah sekolah rendah aku pada tahun 2000. Lebih manis lagi bila aku berjaya mendapat keputusan yang cemerlang dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah UPSR yang pada waktu itu boleh dikatakan agak sukar untuk dicapai terutama bagi pelajar-pelajar seperti kami di yang berada jauh dari kawasan bandar.
Selepas itu, aku meneruskan zaman persekolahan sekolah menengah aku di SMK Umas-Umas Tawau. Juga sekolah Felda. Ramai yang bertanya kepada aku kenapa aku tidak menyambung pelajaran di luar FELDA lantaran keputusan UPSR ku yang cemerlang. Aku hanya tersenyum kerana pada waktu itu, di dalam hati aku tidak ada lagi keinginan untuk pergi jauh dari tanah tempat aku membesar. TIdak ada lagi keinginan untuk pergi jauh meninggalkan segala memori indah yang telah ku cipta di tanah FELDA UMAS ini. Hati aku pada waktu itu hanya dipenuhi sifat keanak-anakkan yang masih ingin bergembira dan bersuka ria bersama rakan-rakan tanpa memikirkan masa depan. Sekolah menengah adalaha zaman di mana aku mula-mula belajar apa yang dinamakan melanggar peraturan, apa rasanya bediri di hadapan kelas sambil mengangkat kedua-dua belah tangan kerana berbuat bising dalam kelas ketika ketiadaan guru serta merasa betapa pedihnya objek yang dipanggil rotan bila dihayun dan mengena punggung pada kelajuan yang tinggi. Aku masih ingat di Tingkatan 1, aku dipilih menjadi salah seorang anggota Badan Pengawas sekolah. Secara luarannya aku merasa agak bangga kerana aku berlainan dari pelajar lain dari segi pakaian dan aku berada dalam barisan lain ketika perhimpunan sekolah. Tetapi lama kelamaan perasaan bangga itu hilang tatkala aku melihat prospek tugas seorang pengawas di sekolah aku hanyalah sebagai tukang angkat buku cikgu, tukang naik bendera baca doa, lafaz ikrar masa perhimpunan. Tidak lebih dari itu. Kemudian aku mengambil keputusan drastik untuk keluar dari Badan Pengawas ketika aku di Tingkatan 2. Aku gembira menjadi pelajar biasa. Aku gembira memakai seragam putih tanpa tali leher dan aku gembira boleh berbuat bising ketika ketiadaan guru. Masa ketika berada di Tingkatan 2 banyak dihabiskan dengan bermain lantaran tidak ada apa-apa peperiksaan penting lagi pada ketika itu. Tingkatan 3, aku paling ingat 3 perkara penting dalam hidup aku. Pertama, ketika aku dipanggil untuk menghadiri temuduga menjadi pengawas. Apabila Guru disiplin bertanya soalan, " Kenapakah anda berminat menjadi pengawas" aku dengan selambanya berkata " Aku tidak suka langsung hendak menjadi pengawas" Air muka cikgu pada masa itu berubah serta merta dan dengan nada lantangnya menyuruh aku keluar dari bilik itu. Cikgu Nazri, masihkah cikgu ingat akan pada saya dan kata-kata saya? Kedua, ketika aku secara rasminya menyatakan yang aku menarik diri dari mengambil bahasa Arab untuk Penilaian Mengah Rendah PMR, dengan alasan terlalu banyak mata pelajaran dan ini satu bebanan bagi aku. Ustaz Amir Hamzah pada ketika itu menerima keputusan aku dengan hati terbuka. Dan yang ketiga tak lain tak bukan ketika aku menerima keputusan PMR aku. Alhamdullilah, sekali lagi aku mendapat keputusan cemerlang, Pelajar Terbaik Sekolah. Terima kasih kepada semua yang telah membantu dan mendoakan kejayaan aku. Ibu bapa, guru-guru serta rakan-rakan. Terima Kasih semuanya. Dengan keputusan ini jugalah aku mengorak langkah dan mengambil keputusan yang akan mengubah hidup aku sampailah sekarang. . . . .
Bersambung di bahagian ke-2..
Hidup Kena Terima Hakikat..
Peace No War...


No comments:
Post a Comment